NURAIN Abdullah, 31 yang terlantar selepas menghidap penyakit buah pinggang pada Ogos tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kekawang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NURAIN Abdullah, 31 yang terlantar selepas menghidap penyakit buah pinggang pada Ogos tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kekawang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


PENGHIDAP buah pinggang kronik, Nurain Abdullah, 31, dari Kampung Kerawang, Pulai Chondong di sini, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), 11.30 pagi tadi.

Lebih pilu, arwah juga meninggalkan anak kecil, Muhammad Aiman Abd Rahman yang berusia empat tahun.

Kakak sulung arwah, Nooranis, 32, berkata, Nurain dirawat di hospital sejak awal Disember lalu akibat sesak nafas.

“Pada awalnya, Nurain dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas sesak nafas dan apabila keadaannya kembali stabil, dia dipindahkan ke Hospital Lati, Pasir Mas.

“Bagaimanapun, selepas 12 hari ditempatkan di Hospital Lati, dia tidak sedarkan diri sebelum dimasukkan semula ke HRPZ II,” katanya dihubungi hari ini.

Nooranis berkata, sejak dua hari lalu, Nurain bergantung sepenuhnya kepada bantuan mesin pernafasan.

Katanya, doktor turut memaklumkan penyakit buah pinggang dihidapi Nurain berada pada tahap lima.

“Selepas melakukan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor mengesan terdapat ketulan darah beku dalam perut Nurain selain usus dan hatinya sudah bengkak serta terdapat jangkitan kuman,” katanya.

Menurut Nooranis, sebelum arwah adiknya itu tidak sedarkan diri, dia sempat memohon maaf kepada suaminya yang datang menjaganya di hospital selepas enam bulan tidak bertemu.

“Nurain memberitahu dia mahu berjumpa dengan suaminya.

“Ibu, Hasnah Mahmood yang berusia 51 tahun, memberitahu keluarga mentua Nurain mengenai keadaan adik dan memohonnya datang ke hospital.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Nurain dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerawang, bersebelahan dengan pusara arwah nenek,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Nurain yang menderita masalah buah pinggang dan sistemik lupus eritematosus (SLE) yang dikesan sejak lima tahun lalu terpaksa bergantung harap kepada keluarganya selepas digantung tidak bertali.

Arwah yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu rumah di Gua Musang terpaksa berhenti disebabkan penyakit terbabit sebelum terlantar selepas kedua belah kakinya membengkak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 3:21 PM