MUSA Hassan. FOTO Arkib NSTP
MUSA Hassan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melindungi sindiket pengedaran dadah adalah wajar.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan perlu diambil bagi membersihkan pasukan dari anggota dan pegawai yang tidak berintegriti.

"Itu tindakan bagus (penahanan) bagaimanapun ia perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan penganiayaan terhadap anggota dan pegawai yang dituduh.

"Polis perlu menjalankan siasatan secara adil kerana dibimbangi berlaku fitnah terhadap anggota dan pegawai yang disiasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemantauan berterusan dari pegawai atasan adalah penting bagi mempertingkatkan integriti dalam kalangan anggota dan pegawai polis.

"Jika dahulu banyak pemantauan dibuat dan Bahagian Tatatertib PDRM adalah di bawah Ketua Polis Negara, namun kini di bawah satu jabatan lain iaitu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

"Setiap pemantauan perlu dilakukan ke atas anggota dan pegawai yang menjalankan tugas, jika terdapat sebarang salah laku boleh dikesan dengan cepat," katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan PDRM tidak memberi muka terhadap anggota dan pegawainya apabila operasi pemutihan besar-besaran dilakukan membabitkan penahanan sejumlah anggota dan pegawai kanan polis yang disyaki menjadi tali barut sindiket dadah.

Tindakan dilakukan pasukan tindakan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selain Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bertujuan menjaga integriti serta membersihkan nama PDRM dari anasir tidak sihat.

Operasi terbaru itu tidak hanya membabitkan anggota polis pangkat rendah malah turut membabitkan penahanan sekurang-kurangnya enam pegawai kanan polis.

Berita berkaitan:

  • 'Superintendan, ASP, DSP tak terkecuali'
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 2:12 PM