PAIMUZI Yahya. FOTO arkib NSTP
PAIMUZI Yahya. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


DATUK Paimuzi Yahya dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baru.

Dalam satu kenyataan, pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pelantikan dengan Gred Utama A itu bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang bersara wajib pada 27 Disember 2019.

Katanya, Paimuzi, 59, sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM adalah Pegawai Hal Ehwal Islam yang paling kanan di JAKIM.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda pada 1985 dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hal ehwal Islam apabila mula menyertai perkhidmatan awam pada 1986 dalam Skim Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Antara jawatan penting yang pernah disandang Paimuzi ialah Pengarah JAKIM Cawangan Sabah (2005) dan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 2008.

Selain itu beliau pernah menjadi Pengarah Darul Quran JAKIM pada 2010 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2013 dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2017 sebelum kembali ke JAKIM.

“Dengan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran Hal Ehwal Islam, kerajaan percaya bahawa beliau mampu menerus dan mempertingkatkan kecemerlangan JAKIM sebagai agensi agama persekutuan khususnya dalam menjayakan agenda Dasar Negara Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan masa kini.

“Kerajaan juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, mantan Ketua Pengarah JAKIM atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam perkhidmatan awam khususnya sebagai Ketua Pengarah JAKIM sebelum ini. Didoakan beliau terus diberi kesihatan berterusan untuk memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Harian Metro 3 Januari lalu melaporkan nama Paimuzi antara yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu berdasarkan pengalamannya dalam hal ehwal Islam di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 12:04 PM