Mohd Izham Unnip Abdullah


KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, membidas dakyah kempen pembangkang yang menggunakan isu ‘lima penggal’ bagi menunjukkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) sudah berumur dan wajar diganti.

Beliau menjelaskan, tidak timbul isu calon dipilih WARISAN, Datuk Karim Bujang, sudah pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama lima penggal atau sudah berumur kerana Karim masih mampu menggalas tanggungjawab.

“Karim bukan tua, umur dia 67, sebaya macam saya juga. Saya pun sudah lima penggal menjadi wakil rakyat Semporna tetapi masih boleh berkhidmat kepada rakyat.

“Jadi tidak timbul masalah Karim jadi calon dan kembali menjadi wakil rakyat.

“Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, kata mahu tanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), waktu itu umur dia 70 lebih sudah, boleh pula tanding kalau pembangkang,” katanya ketika berkempen di Kampung Brunei, Kimanis, semalam.

Beliau menjawab kempen pembangkang yang menggunakan isu calon orang lama lawan orang muda dalam usaha Barisan Nasional (BN) menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

MOHD SHAFIE ketika berucap pada Majlis Bersama Komuniti Nelayan. FOTO Edmund Samunting.
MOHD SHAFIE ketika berucap pada Majlis Bersama Komuniti Nelayan. FOTO Edmund Samunting.

Mohd Shafie turut mengakui, walaupun sudah lama menjadi wakil rakyat, isu orang susah tetap ada kerana bukan semua sempurna walaupun beliau berkhidmat di Semporna.

Presiden WARISAN itu turut menempelak Anifah yang disifatkannya tidak konsisten dalam pendirian kerana berkempen untuk calon UMNO dan BN, Datuk Mohamad Alamin walaupun tidak lagi berada dalam parti itu.

Bekas Menteri luar dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu keluar parti pada September 2018 dengan alasan parti itu dan BN gagal menunaikan janji dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Anifah kata UMNO gagal perjuangkan Sabah tapi pada PRK ini dia sokong pula UMNO. Ada juga orang yang macam ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie menegaskan, kerajaan pimpinannya komited memastikan aktiviti perindustrian berkembang supaya dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 9:07 AM