Nurul Hidayah Bahaudin

CUBAAN lelaki warga Bangladesh melarikan diri dengan basikal selepas merokok di sebuah kedai makanan di Bangsar, gagal apabila dia pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan, semalam.

Lelaki itu yang terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa dilihat memadam dan membuang puntung rokok sebelum cuba melarikan diri dengan basikal.

Lelaki itu dilihat merokok di premis berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan 30 pegawai dan anggota daripada Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi semalam.

Lelaki berusia 40-an yang bekerja sebagai penjual buah di premis berhampiran memberi alasan tidak tahu mengenai larangan merokok di kedai makan.

“Saya tidak tahu tidak boleh merokok di sini. Saya hanya sambung hisap rokok kawan,” katanya yang dikenakan kompaun atas kesalahan merokok di kedai makan.

Sementara itu, Pengarah JKAS DBKL Datin Dr Noor Akma Shabuddin berkata, sebanyak 11 kedai makan dan 19 gerai di sekitar Bangsar diperiksa dalam pemeriksaan berkenaan.

“Kami mengeluarkan satu kompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 kerana didapati merokok di premis makanan.

“Selain itu, pemeriksaan dilakukan bagi memastikan semua premis dan gerai makanan menampal papan tanda larangan rokok,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai pemeriksaan berkenaan.

 PENGUAT KUASA Jabatan Kesihatan memeriksa dokumen lelaki Bangladesh yang merokok. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUAT KUASA Jabatan Kesihatan memeriksa dokumen lelaki Bangladesh yang merokok. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Noor Akma berkata, semua pemilik premis dan gerai makanan yang diperiksa tahu mengenai pelaksanaan undang-undang berkenaan apabila didapati mempunyai papan tanda larangan merokok.

“Jika dilihat, semua pemilik menampal papan tanda larangan yang berbeza saiz yang diletakkan di pelbagai sudut dalam premis serta gerai masing-masing.

“Cuma kami menasihatkan pemilik supaya memastikan saiz papan tanda cukup besar dan diletakkan di sudut yang boleh dilihat dengan jelas oleh pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, sejak 1 Januari lalu hingga semalam, sebanyak 113 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang merokok di kedai makan.

“Selain rokok, orang ramai juga tidak dibenarkan menghisap vape dan shisha di kedai makan. Kami juga akan melakukan pemeriksaan di restoran makanan Arab di sekitar pusat bandar ini bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan itu termasuk menyediakan bekas abu rokok dan peralatan menghisap shisha boleh dikenakan kompaun mengikut akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 2:57 PM