ENAM geng Kabali yang diburu polis. FOTO Ihsan Polis
ENAM geng Kabali yang diburu polis. FOTO Ihsan Polis
Hasbi Sidek


SERAMAI 19 ahli Geng Kabali yang terbabit dengan sekurang-kurangnya 65 kes jenayah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan ditahan dalam Ops Kelawar sepanjang November hingga Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kumpulan berkenaan terbabit dalam kejadian samun bersenjata berkumpulan di dalam rumah dan premis pengurup wang.

“Lebih 50 kes samun berkawan bersenjata dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur, manakala lebih 15 kes di Negeri Sembilan dipercayai dilakukan kumpulan sama.

“Bermula 27 November hingga 23 Disember lalu, satu operasi khas dilancarkan secara bersepadu oleh Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan berjaya menahan 19 ahli kumpulan berkenaan,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

Beliau berkata, suspek akan diambil tindakan mengikut Bab VIB- Seksyen 130V Kanun Keseksaan dengan menggunakan prosedur siasatan dan pendakwaan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 2012 (SOSMA).

Menurutnya, seramai lapan lagi ahli kumpulan berkenaan sedang diburu dan identiti enam daripadanya sudah dikenal pasti.

Katanya, mereka dikenali sebagai K V Theyvendran, 27, Nasaruddin Abdullah, 24, R Jeevanraj, 23, A Eswaran, 26, S Navin Kumar, 24 dan R Kunasekaran, 32.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 1:08 PM