Siraj Mohd Zaini


AKIBAT tindakan pihak tidak bertanggungjawab, anggota bomba kini terpaksa bertungkus lumus memadamkan kebakaran tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Kapar, Klang.

Kebakaran dipercayai berlaku bermula kira-kira jam 2 pagi semalam di tapak pembuangan sampah berkeluasan 1.21 hektar.

Difahamkan, lokasi kebakaran terletak kira-kira tiga kilometer daripada jalan utama adalah tanah persendirian yang dijadikan tapak pelupusan sampah sejak lebih tiga tahun lalu bagi membuang sisa domestik dan industri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 2.57 pagi semalam.

ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Kuari off Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar. Kebakaran dipercayai bermula dari jam 2 pagi semalam. FOTO Saddam Yusoff
ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Kuari off Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar. Kebakaran dipercayai bermula dari jam 2 pagi semalam. FOTO Saddam Yusoff

Menurutnya, seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Sungai Pinang dan Pelabuhan Klang bertungkus lumus memadamkan kebakaran berkenaan.

"Pasukan bomba turut mendapat kerjasama Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK) iaitu seramai empat anggota dan tiga anggota Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).

"Kerja-kerja pemadaman di tapak pembuangan sampah haram itu menggunakan pam angkut dan pam jentera menggunakan air terbuka diambil dari lembah takungan berhampiran," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Ketua JBPM Zon Klang Samsol Maarif Saibani yang juga Komander Operasi berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini pihaknya sudah memadamkan hampir 50 peratus daripada keseluruhan kebakaran.

"Operasi masih diteruskan hari ini sehingga api padam sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 4:28 PM