Keadaan motosikal mangsa yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan motosikal mangsa yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


WANITA melecur di tangan kiri dalam kejadian kebakaran kenderaan di Jalan Penyiaran 26, Taman Universiti, Skudai di Johor Bahru, pagi hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Surainin Adnan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Salmah Muhammad, 58, memadamkan kebakaran kenderaan di rumahnya.

Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan 5.55 pagi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss terbakar 80 peratus.

“Sebuah motosikal jenis Demak DZM200 terbakar 10 peratus dan sebuah motosikal jenis Yamaha R15 terbakar 10 peratus,” katanya.

Katanya, kesan kebakaran terbabit turut membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz kira-kira lima peratus.

“Kebakaran itu disedari oleh mangsa yang ketika itu tinggal bersama suami dan anak mangsa.

“Kebakaran dapat dipadamkan oleh mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.

Katanya, mangsa melecur di tangan kiri ketika membuat pemadaman.

“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pihak bomba dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya operasi tamat 6.33 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 9:04 AM