Mohd Kamarudin (tiga dari kiri) menunjukkan kereta mangsa yang dilarikan suspek kes samun dalam sidang media di IPD Seri Alam, Pasir Gudang. (Gambar kecil) pistol yang digunakan suspek. Foto Hairul Anuar Rahim
Mohd Kamarudin (tiga dari kiri) menunjukkan kereta mangsa yang dilarikan suspek kes samun dalam sidang media di IPD Seri Alam, Pasir Gudang. (Gambar kecil) pistol yang digunakan suspek. Foto Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEPERTI tidak sedar mereka diburu polis selepas terbabit insiden samun dan melepaskan tembakan sehingga seorang warga emas maut di Kangkar Tebrau pada Jumaat lalu.

Dua lelaki yang disyaki dalam kes itu sekali lagi menyamun dan mangsanya itu adalah seorang lelaki yang mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Taman Molek di johor Bahru pada keesokan harinya.

Bukan itu saja, dua suspek terbabit turut melarikan sebuah Perodua Myvi dan wang tunai sebanyak RM150 milik mangsa berusia 32 tahun selepas mengacukan senjata api ke arah mangsa dalam kejadian pada 7.45 pagi.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis berjaya mengesan kereta mangsa yang dilarikan di Pasir Gudang kira-kira 12 tengah malam semalam dan mendapati dua lelaki terbabit berada dalam kenderaan itu bersama seorang wanita.

Ketika dihampiri polis, mereka cuba bertindak agresif dengan menghimpit dan melanggar kenderaan polis walaupun sudah diarahkan berhenti.

Melihat keadaan membahayakan pengguna jalan raya menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek untuk memberhentikan kenderaan berkenaan sebelum ia terbabas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, suspek kemudiannya mengacukan senjata api ke arah polis dan memandangkan kedua-dua mereka disyaki terbabit dalam kes tembakan rambang dan membahayakan menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kaki untuk mempertahankan diri menyebabkan kedua-duanya cedera ditembak di kaki.

Menurutnya, seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri, manakala seorang lagi ditahan bersama wanita yang dipercayai teman wanita kepada seorang daripadanya.

“Polis turut merampas sepucuk revolver, sebutir peluru hidup dan Perodua Myvi hasil kegiatan samun pada Sabtu lalu di Taman Molek.

“Suspek yang berjaya meloloskan diri itu kemudiannya berjaya ditahan di sebuah rumah di Plentong selepas Ops Kesan dilancarkan pada 12.10 tengah malam tadi.

“Dengan itu, sebanyak tiga tangkapan dibuat berkait kes samun dan melepaskan tembakan serta kes samun di ATM.

“Ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal, kita mendapati suspek wanita tidak terbabit secara langsung dalam dua insiden samun terapi dia ditahan bagi membantu siasatan kerana berada bersama dua suspek di dalam kenderaan yang sama ketika dikesan.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan satu kes bunuh dan sekurang-kurangnya lima kes samun bersenjata api yang dilaporkan di sekitar Johor Bahru sejak tahun lalu,” katanya hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, pecah rumah dan dadah termasuk seorang suspek lelaki dikehendaki polis bagi kes samun pada 2007.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 (Akta Lebih Berat) kerana menggunakan senjata api ketika melakukan jenayah.

Pada 8.57 malam Jumaat lalu, dua lelaki disyaki melakukan samun di sebuah rumah di Kangkar Tebrau dengan seorang daripadanya melepaskan satu das tembakan dan terkena kaki kanan seorang remaja lelaki 17 tahun yang juga penghuni rumah.

Suspek kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ketika melarikan diri daripada rumah itu sebelum terkena kepala seorang warga emas berusia 75 tahun yang duduk di hadapan rumahnya di Jalan Tun Fatimah di sini, berhampiran tempat kejadian dan menyebabkan wanita itu meninggal dunia.

Berita berkaitan

Tragedi tembakan rambang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 3:57 PM