MUHAMMAD Rizal Afnan menerima rawatan selepas disondol kambing. FOTO Ihsan Muhammad Rizal Afnan
MUHAMMAD Rizal Afnan menerima rawatan selepas disondol kambing. FOTO Ihsan Muhammad Rizal Afnan
Noorazura Abdul Rahman

PENDUDUK di beberapa kampung di daerah ini bimbang dengan kehadiran haiwan ternakan berkeliaran di atas jalan yang berlarutan sejak sekian lama.

Sikap lepas tangan pemilik ternakan itu sering menyebabkan kemalangan kepada pengguna termasuk yang meragut nyawa.

Ada mangsa yang sudah beberapa kali mengalami kecederaan apabila kenderaan mereka melanggar haiwan berkenaan namun pemiliknya masih berdegil dan tidak menghiraukan haiwan ternakan mereka.

Pengguna jalan raya, Muhammad Rizal Afnan Muhammad Sabri, 30, berkata, dia sudah dua kali menjadi mangsa haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya sehingga menyebabkan anggota badannya patah.

Katanya, terbaharu tulang selangka kirinya patah tetapi dia masih terpaksa bekerja dengan kecederaan itu sejak bulan lalu.

“Kemalangan itu berlaku pada jam 5 pagi 11 November lalu ketika saya dalam perjalanan menunggang motosikal ke medan selera untuk membuka gerai roti canai bapa saya.

“Saya bertembung dengan seekor lembu yang berada di laluan saya. Memang saya tidak nampak ada sekawan lembu di atas jalan, selepas terjatuh daripada motosikal barulah saya nampak semua lembu itu,” katanya yang tinggal di Kampung Sireh, Mukim Tekai, Naka, Kuala Nerang.

Bercerita lanjut, bapa kepada dua orang anak ini berkata, dia bernasib baik ketika kejadian itu seorang kenalan yang kebetulan mahu membawa anaknya ke hospital ternampak kejadian itu dan membantu membawanya ke hospital.

Katanya, doktor tidak dapat membetulkan tulang selangka yang patah.

“Sehingga sekarang tulang di bahu saya masih tiada perubahan, saya terpaksa bekerja dalam keadaan sakit kerana kudrat saya diperlukan untuk membancuh tepung dan menebar roti canai.

“Bukan itu saja, kecederaan jari kelingking kanan saya juga belum sembuh sepenuhnya akibat bertembung dengan kambing biri-biri yang berada di tengah jalan pada 5 Julai lalu.

“Kambing itu bertindak agresif apabila berpatah balik dan menyondol saya dengan tanduknya, tulang jari ini patah sehingga mengganggu saraf tangan saya,” katanya yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari rumah bapanya di Kampung Masjid, di sini.

MUHAMMAD Rizal Afnan menunjukkan jari kelingking kanannya yang patah. FOTO Ihsan Muhammad Rizal Afnan
MUHAMMAD Rizal Afnan menunjukkan jari kelingking kanannya yang patah. FOTO Ihsan Muhammad Rizal Afnan

Justeru, dia sangat mengharapkan wakil rakyat serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan lebih tegas kerana sudah ramai yang terbabit dalam insiden seumpama itu.

Katanya, dia sudah membuat laporan kepada PBT supaya tindakan diambil dengan segera supaya tiada lagi menjadi mangsa akibat perbuatan tidak bertanggungjawab manusia.

Sementara itu, Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff Zakaria, berkata, beliau sudah menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kejadian terbabit.

Kata beliau, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) untuk mengambil langkah terbaik bagi mengatasi masalah itu.

“MDPT memberi beberapa langkah untuk menyelesaikan perkara itu selain menangkap haiwan itu dan dikenakan kompaun kepada pemiliknya.

“Sebagai wakil rakyat saya berharap isu ini dapat diatasi dengan tindakan berterusan daripada penguat kuasa MDPT,” katanya kepada Metro Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:47 AM