NOR Azam (kiri) dan Ahmad Dasuki pada majlis menandatangani MoU bagi mewujudkan kerjasama strategik untuk transaksi e-Wallet.
NOR Azam (kiri) dan Ahmad Dasuki pada majlis menandatangani MoU bagi mewujudkan kerjasama strategik untuk transaksi e-Wallet.

Kuala Lumpur: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) memfokuskan kepada penyediaan kemudahan transaksi digital untuk pelanggan membuat simpanan dan bayaran balik pinjaman menerusi e-Wallet MBSB.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, pihaknya ingin meluaskan penggunaan dompet digital kepada pendeposit Simpan SSPN dan peminjam PTPTN dengan menyediakan perkhidmatan simpanan dan pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui e-Wallet MBSB Bank.

"Bagi memudahkan mereka, pendeposit Simpan SSPN boleh membuat simpanan ke dalam akaun Simpan SSPN melalui e-Wallet MBSB Bank tanpa perlu membuka akaun simpanan dengan MBSB Bank.

"e-Wallet MBSB Bank adalah dompet digital aplikasi mudah alih patuh syariah yang pertama di Malaysia ditawarkan MBSB Bank," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, MoU yang dimeterai antara lain turut bertujuan mewujudkan kerjasama bagi menjalankan kolaborasi strategik dalam pembudayaan simpanan pendidikan, pengurusan kewangan, program promosi dan pemerkasaan komuniti.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan Nor Azam manakala PTPTN pula diwakili Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 8:58 AM