Rakaman CCTV menunjukkan Perodua Myvi hitam berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum dua orang memecah masuk kediaman itu. FOTO Ihsan Pembaca
Rakaman CCTV menunjukkan Perodua Myvi hitam berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum dua orang memecah masuk kediaman itu. FOTO Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI kerugian RM23,000 selepas kediamannya di Jalan PJS 9/18, Bandar Sunway dipecah masuk lebih dua lelaki semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Syukor berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengurus berusia 30-an meninggalkan kediamannya pada 1 tengah hari.

Menurutnya, sebaik pulang 4.40 petang dia dapati pintu hadapan rumah dirosakkan sebelum masuk ke dalam dan mendapati rumah berselerakan.

“Mangsa kemudian mendapati wang tunai, barangan kemas, barangan elektrik, telefon bimbit dan kunci kereta yang dianggarkan bernilai RM23,000 dilarikan.

“Polis yang menerima maklumat ke lokasi dan kini sedang mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, pihaknya juga akan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Rakaman CCTV itu turut tular di media sosial apabila sebuah Perodua Myvi hitam berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum dua orang bertindak memecah masuk kediaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:03 AM