KEADAAN kereta yang dinaiki wanita dalam kemalangan maut di Kilometer 2.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala ke pusat bandar berhampiran susur Desa Waterpark, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO PDRM
KEADAAN kereta yang dinaiki wanita dalam kemalangan maut di Kilometer 2.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala ke pusat bandar berhampiran susur Desa Waterpark, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 2.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala ke pusat bandar berhampiran susur Desa Waterpark, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu jam 10.06 pagi tadi.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Kancil dipandu seorang wanita berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar kira-kira jam 2 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar pambahagi jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

"Kemalangan itu juga menyebabkan kereta mangsa turut remuk di bahagian hadapan dan pintu sebelah kanan.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03- 22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 6:05 PM