TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TERTUDUH ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


PENIAGA ikan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap budak perempuan pada Disember 2016.

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh, Zuriak Dagang, 59, didapati bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa merangsang mangsa yang ketika kejadian berusia lapan tahun untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di daerah ini antara 4 Disember 2016 sehingga 17 Disember 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Mahkamah membenarkan permintaan tertuduh untuk menangguhkan hukuman sementara mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh juga dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh hanya diketahui ibu mangsa selepas terbaca berita mengenai lelaki itu yang juga jirannya ditangkap polis kerana mencabul seorang budak kira-kira 12 tengah hari, 17 Disember 2016.

Ibu mangsa terus bertanya anaknya sama ada tertuduh pernah melakukan perbuatan tidak senonoh atau tidak kerana mangsa sebelum ini pernah ke rumah tertuduh.

Selepas didesak, mangsa memberitahu perbuatan tertuduh terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 7:01 PM