Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang bekas guru agama hanya sempat menikmati kebebasannya selama 10 hari, sebelum sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak, Mac 2019.

Pada 4 Disember lalu, Nik Hazmi Ghani, 39, dibebaskan daripada penjara selepas selesai menjalani hukuman selama dua tahun.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Bazli Bahruddin hari ini, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah bilik pondok tahfiz di Kubang Kerian di sini, antara jam 2 hingga 3 pagi pada pertengahan Mac 2019.

Nik Hazmi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Azlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pada Ogos 2016, media melaporkan guru agama iaitu tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap pelajarnya pada 2014.

NIK Hazmi didakwa  di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak disebuah bilik pondok tahfiz di Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NIK Hazmi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak disebuah bilik pondok tahfiz di Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas Nik Hazmi didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh memohon penangguhan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mohd Yusoff membenarkannya dengan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Difahamkan, tertuduh menjalani hukuman penjara pada 2019 dan dipercayai sempat melakukan perbuatan tidak bermoral itu ke atas mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 3:28 PM