GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar


PENGASUH taska yang mendera bayi lelaki dengan menggores kepala mangsa menggunakan pin tudung dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berusia 22 tahun itu yang mengaku bersalah mendera bayi berusia setahun satu bulan.

Sebelum ini, wanita itu yang juga penuntut universiti awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera sebelum menukar pengakuannya selepas kes disebut semula hari ini.

Jika gagal bayar, mahkamah memerintahkan wanita itu dipenjara empat bulan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan penderaan kepada bayi itu menggunakan jarum sehingga menyebabkan kecederaan iaitu kesan calar pada kepala mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Taska di Jalan Bukit Pantai, Bukit Pantai, Brickfields, Kuala Lumpur, pada 11 pagi, 21 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kes penderaan kanak-kanak dan bayi oleh pengasuh semakin berleluasa.

“Akibat tindakan tertuduh, bayi itu mengalami empat kesan calar. Rayuan tertuduh mengatakan dia berada dalam keadaan marah ketika melakukan perbuatan itu tidak boleh diterima.

“Tertuduh diberi kepercayaan untuk menjaga bayi itu. Oleh itu saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran,” katanya.

Peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim yang mewakili tertuduh, memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya atas alasan ketika kejadian tertuduh dalam keadaan marah kerana diminta melakukan kerja yang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:18 PM