GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM40,000 terhadap pengasuh taska yang didakwa bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, Mac lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim terhadap tertuduh, Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman, 28, selepas wanita itu mengekalkan pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan yang dihadapinya pada 21 Mei lalu.

Che Wan Zaidi yang mengenakan hukuman denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan itu turut memerintahkan hukuman penjara lima bulan masing-masing bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, Hakim turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM20,000 tidak bercagar bagi setiap pertuduhan serta menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam bagi kedua-dua pertuduhan dalam tempoh enam bulan bermula tarikh sabitan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Che Wan Zaidi dalam penghakimannya berkata, walaupun perbuatan tertuduh tidak membabitkan kecederaan ke atas dua bayi itu, namun dengan usia bayi yang masih mentah itu sepatutnya mereka dijaga dengan penuh kasih sayang.

"Kamu diamanahkan sebagai pengasuh di pusat asuhan itu, tetapi kamu didapati bertindak cuai dan lakukan perbuatan tidak sewajarnya ke atas bayi yang masih mentah.

"Dalam hal ini, mahkamah perlu beri satu hukuman yang bersesuaian dengan perbuatan kamu dan sebagai pengajaran juga supaya kamu menjadi orang yang lebih baik di masa hadapan," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan didakwa bagi dua pertuduhan bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap bayi berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, Mac lalu.

Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat selama tempoh 160 jam dan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama enam bulan.

Pada 15 Mei lalu, tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Tindakan wanita itu mengundang marah netizen selepas dilihat memukul bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.

Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 1:09 PM