MANGSA Maimun Omar terlihat keadaan rumahnya yang musnah selepas  dilanda angin kencang di Kampung Temai Hilir. FOTO Mohd Rafi Mamat
MANGSA Maimun Omar terlihat keadaan rumahnya yang musnah selepas dilanda angin kencang di Kampung Temai Hilir. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


“SAYA kehilangan kata-kata dan hanya mampu menangis melihat dinding serta bumbung rumah pusaka tempat saya berteduh sejak lebih 50 tahun lalu musnah apabila diterbangkan angin kencang.

“Kejadian itu berlaku dalam masa 15 minit, kekuatan angin begitu dahsyat dan menakutkan yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila,” kata Maimun Omar, 57.

Maimun adalah antara penduduk Kampung Temai Hilir, di Pekan, yang berdepan kejadian ribut pada 5.45 petang kelmarin.

Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah adiknya yang terletak bersebelahan rumahnya dan tidak berani pulang ke rumahnya kerana keadaan hujan terlalu lebat dan angin kencang.

“Selepas hujan reda, saya pulang ke rumah dan terkejut melihat dinding dan bumbung rumah sudah diterbangkan angin sehingga menyebabkan bahagian dalam rumah basah.

“Ini adalah rumah pusaka peninggalan orang tua saya, rasa sedih melihat keadaan rumah ini..saya anggarkan kerugian sekitar RM10,000,” katanya yang tinggal sendirian di rumah berkenaan.

Maimun berkata, dia hanya berniaga menjual sayur secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu dan agak mustahil untuknya membaiki kerosakan rumahnya.

Katanya, dia menerima bantuan wang tunai dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain bantuan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut memberi kit bencana berbentuk keperluan harian.

Menurutnya, dia berasa lega dan berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang memberi jaminan untuk membantu membaiki kerosakan rumahnya.

Seorang lagi mangsa Nyaros Awang, 71, berkata, dia kerugian RM5,000 apabila sebahagian atap zink rumahnya musnah ditimpa pokok kelapa yang tumbang.

“Ini kali pertama saya berhadapan detik cemas dan mendebarkan sejak menetap di kampung ini, tidak mungkin saya dapat melupakan kejadian yang menakutkan itu.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana kejadian itu tidak mendatangkan kecederaan kepada saya dan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 8:33 AM