Ruwaida Md Zain


Klang: "Lari.. lari..rumah kita nak roboh."

Itu jeritan anak perempuan kepada Yahya Rakiming @ Hassan, mangsa yang terjejas akibat ribut di sekitar Meru, petang semalam.

Ketika hujan lebat serta angin kencang yang bermula kira-kira jam 3 petang itu, sebahagian bumbung rumah Yahya dipukul ribut dan diterbangkan angin sehingga menyebabkan air hujan masuk ke dalam rumahnya.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang berbual dengan anak-anaknya di rumahnya.

"Mulanya hujan seperti biasa, namun menjadi lebat secara tiba-tiba diikuti dengan angin kencang. Anak kelima saya menjerit..lari..lari..rumah nak roboh.

"Kami terkejut, bumbung rumah kami terbang dengan bunyi yang sangat menakutkan macam nak roboh, jadi kami terus berkumpul di ruang tamu dalam keadaan cemas.

"Ribut itu sekejap sahaja tetapi sekelip mata bumbung rumah diterbangkan, tidak lama kemudian keadaa mula reda di mana angin kencang dan hujan berhenti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Saeri, di sini, hari ini.

Bapa kepada 10 anak itu berkata, ini kejadian terburuk yang berlaku kerana sebelum ini hanya sekeping dua bumbung rumah ditebangkan ribut.

Yahya menunjukkan keadaan bumbung rumah miliknya rosak selepas kejadian hujan lebat dan angin kencang di sekitar Meru, petang semalam. FOTO FAIZ ANUAR
Yahya menunjukkan keadaan bumbung rumah miliknya rosak selepas kejadian hujan lebat dan angin kencang di sekitar Meru, petang semalam. FOTO FAIZ ANUAR

"Tetapi semalam, bumbung terbang sekali dengan kayu-kayu, jadi saya tak boleh buat apa-apa. Siling juga pecah sehingga menyebabkan air masuk ke dalam rumah di mana tiga bilik tidur terjejas, perabut serta pakaian semuanya basah," katanya.

Seorang lagi mangsa, Herwinawaty Md Johani, 36, yang tinggal di Jalan Kenangan di sini pula berkata, dia terkejut melihat angin kencang yang luar biasa itu menyebabkan garaj kereta menghempap empat kereta milik dia, adik dan sepupu.

Katanya, ada ahli keluarga yang cuba untuk mengalihkan kenderaan namun disebabkan ribut semakin kuat mereka tidak sempat berbuat apa-apa.

Sementara itu, Ketua Kampung Meru, Azman Mohamed Tawil berkata, kejadian angin kencang serta ribut petang semalam paling teruk yang pernah berlaku di kawasan itu.

"Secara anggaran, lebih 30 rumah terjejas tetapi saya dan penghulu masih mengumpul maklumat daripada semua mangsa. Ini akan dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta LZS (Lembaga Zakat Selangor)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 5:43 PM