DR Dzulkefly beramah mesra dengan penduduk yang menjalani pemeriksaan kesihatan sempena Karnival Gaya Hidup Sihat DUN Paroi 2019. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
DR Dzulkefly beramah mesra dengan penduduk yang menjalani pemeriksaan kesihatan sempena Karnival Gaya Hidup Sihat DUN Paroi 2019. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


WAD kecemasan dan wad bersalin Hospital Rembau, dijangka beroperasi bulan hadapan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun katanya, keseluruhan hospital itu yang akan menjadi hospital kluster kepada Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban beroperasi pada Januari 2020.

Menurutnya, ketika ini proses kemasukan alat perubatan serta bukan perubatan sedang dijalankan membabitkan 7,000 unit dan perlu ditempatkan mengikut jenis perkhidmatan yang disediakan.

“Ia disusuli dengan proses ujian dan pentauliahan alat terbabit yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

“Bagaimanapun, ketika ini usaha sedang dilakukan untuk memastikan wad kecemasan dan wad bersalin dapat beroperasi dahulu pada Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mini Karnival Gaya Hidup Sihat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang, Seremban, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Paroi, Mohammad Taufek Abd Ghani dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainuddin Ali.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Jabatan Kesihatan negeri akan mengumumkan mengenai pembukaan kedua-dua wad berkenaan sebaik ia dapat beroperasi kelak.

Bulan lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan projek pembinaan Hospital Rembau yang dibina dengan kos RM104 juta kepada Kementerian Kesihatan, yang mana ia akan menjadi pelengkap kepada rangkaian hospital awam di Negeri Sembilan.

Hospital itu mempunyai 76 katil sekali gus dapat memberi kemudahan kepada penduduk Rembau dan sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:31 PM