SK Lintang, Sungai Siput dinaiki air setinggi 1.5 meter, semalam.
SK Lintang, Sungai Siput dinaiki air setinggi 1.5 meter, semalam.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


“Saya sedar kawasan luar rumah dinaiki air ketika ingin keluar bekerja kira-kira jam 6 pagi, ketika itu rumah kami belum dimasuki air lagi.

“Namun, bimbang keadaan ibu (Khatipah Ahmad, 64) yang menghidap angin ahmar, saya bersama adik membawanya menggunakan kerusi roda ke kawasan lebih tinggi,” kata Suhaila Baharom, 44.

Suhaila antara 116 penduduk dari 31 keluarga yang dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Datuk Haji Mohamad Padil dan Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat di Pekan Lintang, setakat 4 petang semalam susulan banjir melanda kawasan itu.

SUHAILA  (kiri) menjaga ibunya di PPS Dewan Datuk Haji Mohamad Padil, Sungai Siput.
SUHAILA (kiri) menjaga ibunya di PPS Dewan Datuk Haji Mohamad Padil, Sungai Siput.

Bencana banjir menjejaskan tujuh kampung di daerah Sungai Siput iaitu Kampung Belakang Pekan, Kampung Pondok, Kampung Lintang Pekan, Kampung Masjid Lintang, Kampung Batu 11, Kampung Tok Sirat dan Kampung Lasah.

Kawasan berkenaan dinaiki air sedalam dua meter sejak 5 pagi tadi dan turut mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang serta Klinik Kesihatan Lintang ditutup, manakala Balai Polis Lintang turut dinaiki air selain beberapa jalan utama juga ditenggelami banjir.

Tinjauan Harian Metro di SK Lintang yang mempunyai murid seramai 67 orang dan 11 guru itu mendapati air sudah mula surut manakala kerja membersihkan kawasan itu akan dijalankan hari ini.

MANGSA banjir bersama anak tinggal di PPS Dewan Datuk Haji Mohamad Padil, Sungai Siput.
MANGSA banjir bersama anak tinggal di PPS Dewan Datuk Haji Mohamad Padil, Sungai Siput.

Suhaila yang tinggal di Kampung Pondok berkata, kejadian banjir itu adalah yang kedua terburuk selepas kali pertama pada 2014.

“Kawasan ini memang selalu dilanda banjir kilat. (Tetapi) Kali ini boleh dikatakan teruk sehingga saya sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.

“Syukur saya sempat membawa ubatan emak. Sejak tengah hari (semalam), cuaca baik dan kami diberitahu air mulai surut.

“Namun penduduk belum dibenarkan pulang kerana bimbang banjir akan berulang,” katanya yang ditempatkan di Dewan Datuk Haji Mohamad Padil.

GURU Besar SK Lintang, Sungai Siput, Mohamad Rizal Mohamed Yunus membersihkan kesan lumpur banjir.
GURU Besar SK Lintang, Sungai Siput, Mohamad Rizal Mohamed Yunus membersihkan kesan lumpur banjir.

Warga emas, Siti Hajar Mohamad, 69, berkata, dia tersedar kira-kira 4 pagi selepas merasakan kaki tersentuh air, dan mendapati air sudah masuk di dalam rumahnya.

“Pihak bomba kemudian mengarahkan saya meninggalkan kediaman dan dibawa ke pusat pemindahan sementara memandangkan air semakin naik.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan, hanya tinggal sehelai sepinggang, saya rasa semua barangan di rumah juga rosak seperti banjir pada 2014,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:15 AM