Kakitangan dan pesakit berkumpul di pekarangan Hospital Tanah Merah selepas wad bersalin dipenuhi asap dalam kejadian malam tadi. Foto ihsan Pembaca
Kakitangan dan pesakit berkumpul di pekarangan Hospital Tanah Merah selepas wad bersalin dipenuhi asap dalam kejadian malam tadi. Foto ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


ENAM puluh enam pesakit wad bersalin di Hospital Tanah Merah cemas apabila bangunan itu dipenuhi asap selepas sistem bekalan kuasa bebas gangguan (UPS) di bangunan itu terbakar malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 11 malam itu.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Roslan Ismail dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah berkata, tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Kami tiba kira-kira tiga minit kemudian dan pada ketika itu pesakit dengan dibantu kakitangan hospital dalam proses mengosongkan bangunan yang dipenuhi dengan asap tebal.

"Kami kemudiannya membuat pemeriksaan di bangunan tiga tingkat itu sebelum menemui kebakaran berpunca daripada UPS di tingkat bawah.

"Ketika itu, api sudah padam dan anggota kemudiannya membuka tingkap dan pintu di seluruh bangunan untuk pengudaraan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 12.20 tengah malam.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 2:00 AM