Anggota bomba di tempat kejadian. Kesan asap di tingkat dua (gambar kecil). FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Anggota bomba di tempat kejadian. Kesan asap di tingkat dua (gambar kecil). FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Sebuah komputer terbakar di dalam bilik yang menempatkan pelbagai dokumen berkaitan siasatan narkotik di Jabatan Kimia Pulau Pinang di Jalan Tull, di sini, malam tadi.

Kejadian 7.30 malam itu menyebabkan bilik di tingkat dua bangunan itu dipenuhi asap tebal.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Pegawai Bomba Kanan Kamarul Ariffin Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.49 malam dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

Katanya, dua pegawai dan 14 anggota bomba dengan dua jentera ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita mengambil masa 30 minit untuk melakukan pemeriksaan sebelum mengesan punca kebakaran di tingkat dua apabila seluruh bilik dipenuhi asap tebal.

"Pemeriksaan lanjut berjaya mengesan kebakaran berlaku pada sebuah komputer di bilik siasatan narkotik saja tanpa membabitkan dokumen atau peralatan pejabat lain.

"Punca sebenar kebakaran masih disiasat dan semua anggota Hazmat diarahkan untuk memakai Bunker Gear ketika membuat pemeriksaan lanjut," katanya.

Kamarul Ariffin berkata, kerja-kerja pembersihan masih lagi dijalankan untuk memastikan tiada lagi kepulan asap berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 1:01 AM