Mangsa yang diselamatkan pasukan perubatan selepas KOMTAR dipenuhi asap tebal. FOTO Mikail Ong
Mangsa yang diselamatkan pasukan perubatan selepas KOMTAR dipenuhi asap tebal. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan


DUA individu masing-masing seorang wanita dan lelaki dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas terkena serangan jantung dan asma ketika cuba menyelamatkan diri apabila tingkat 3 Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown dipenuhi asap tebal.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mereka dikatakan bergegas turun dari tingkat 51 dan 58 sejurus menyedari kepulan asap memenuhi ruang KOMTAR.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan 2.50 petang mengatakan ada kepulan asap tebal di bangunan terbabit.

“Sebaik tiba, kita dapati ada asap memenuhi laluan koridor di tingkat tiga yang menempatkan lapan kedai.

“Setakat ini, anggota bomba masih mencari punca asap terbabit,” katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan ratusan pekerja dan pengunjung KOMTAR bergegas turun menyelamatkan diri.

Turut terjejas ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan EXCO Kerajaan Pulau Pinang yang sedang mengadakan mesyuarat.

Setakat ini, keadaan dilaporkan sudah terkawal dengan orang ramai mula masuk ke dalam bangunan namun bomba masih menjalankan siasatan di lokasi untuk mengesan punca asap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 5:34 PM