GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Irwan Shafrizan Ismail


HARGA runcit petrol RON97 naik tujuh sen kepada RM2.67 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan hari ini, berkata harga runcit produk petroleum itu bagi tempoh 12 hingga 18 Oktober ini.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya masing-masing sebanyak RM2.37 seliter dan RM2.27 seliter

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit petrol RON95 yang berada pada paras RM2.30 seliter, manakala penurunan bagi harga runcit diesel berada pada paras RM2.34 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dengan pengekalan harga runcit bagi RON95 dan diesel, anggaran subsidi perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh 12 hingga 18 Oktober berjumlah RM112.64 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:47 PM