FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli


AHLI perniagaan wanita warga Vietnam bergelar Datuk dipenjara tiga tahun dan didenda RM1.75 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah RM350,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dua tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Tran Thi Mai, 43, atau Datuk Maimunah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes itu.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata, selepas meneliti hujahan dan keterangan saksi kedua-dua pihak, tertuduh didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

“Selain itu, penjelasan juga gagal diberikan pihak pembelaan untuk mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM1.5 juta atau gagal bayar 12 bulan penjara.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM250,000 atau gagal bayar enam bulan penjara.

Rozina memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memberi RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Pengarah Maritim Daerah Sedili, Kota Tinggi Johor, Amran Daud, 55, sebagai dorongan melepaskan tiga bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM kerana disyaki menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Hot Gossip Cafe Hotel Park Royal, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, antara 6.30 petang dan 7.30 malam, 2 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara rasuah memberi RM50,000 kepada Muhammad Sani bagi pihak Amran sebagai balasan melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam atas kesalahan sama di Starbucks kompleks beli-belah Pearl Point di Kuala Lumpur pada 4 petang, 12 Mei lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan kesalahan rasuah dilakukan tertuduh adalah serius selain membabitkan jumlah besar.

“Pohon mahkamah memberikan hukuman berat kepada tertuduh supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh juga masyarakat lain supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Haijan Omar mewakili tertuduh memohon hukuman penjara dan denda minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai kesalahan lampau.

“Anak guam saya adalah ibu tunggal dan perlu menjaga empat anaknya yang masih bersekolah serta datang ke negara ini bukan untuk niat jahat,” katanya.

Dalam prosiding itu, Haijan turut memohon pelaksanaan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan hukuman dihadapi tertuduh.

Perbicaraan kes itu bermula Disember 2017 dengan 38 saksi pendakwaan dipanggil dan lima saksi pembelaan tampil memberi keterangan di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 3:18 PM