PEMANDANGAN kabur akibat jerebu di Lebuhraya Persekutuan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara mencatatkan (IPU) 130 iaitu paras tidak sihat pada jam 12 tengah hari tadi. FOTO Saddam Yusoff
PEMANDANGAN kabur akibat jerebu di Lebuhraya Persekutuan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara mencatatkan (IPU) 130 iaitu paras tidak sihat pada jam 12 tengah hari tadi. FOTO Saddam Yusoff
Ekhwan Haque Fazlul Haque


JEREBU dijangka berkurangan awal minggu depan memandangkan berlaku pertukaran arah angin dari barat daya ke timur, hujung minggu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, pertukaran arah angin dijangka mampu membawa keluar asap jerebu dari negara ini menuju ke kawasan Sumatera, Indonesia.

Menurutnya, ramalan berkenaan dibuat berdasarkan data yang diperoleh MetMalaysia namun ia hanya dapat mengurangkan jerebu namun tidak memulihkan masalah itu sepenuhnya.

“MetMalaysia jangka jerebu berkurangan awal minggu depan dan berdasarkan data dikumpul, titik panas tidak dikesan di Semenanjung sehingga malam semalam dan hanya tiga titik panas dikesan di kawasan barat Sarawak.

“Angin dari timur juga dijangka dapat menghasilkan hujan khususnya di pantai barat Semenanjung namun operasi pembenihan awan (OPA) akan terus dijalankan sekiranya keadaan awan dan cuaca yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Jailan berkata, OPA hari ini memberi tumpuan di kawasan barat Sarawak seperti di Sri Aman, Kuching, Samarahan, Sibu dan Sarikei yang merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 200 hari ini.

Katanya, bagi membolehkan OPA berjaya dijalankan secara efektif, keadaan awan, kelembapan udara dan angin memainkan peranan penting agar hujan dapat dihasilkan seterusnya mengurangkan jerebu.

“OPA yang dijalankan semalam di kawasan utara Semenanjung berjaya menghasilkan hujan dan IPU juga merekodkan penurunan di beberapa kawasan berbanding sebelum ini,” katanya.

Sri Aman di Sarawak masih menunjukkan bacaan IPU bahaya disebabkan kebakaran hutan di kawasan berkenaan selain pergerakan angin dari Kalimantan, Indonesia turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:14 PM