Ekhwan Haque Fazlul Haque


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjalankan operasi pembenihan awan (OPA) di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, OPA mendapat kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurutnya, OPA yang dijalankan berjalan lancar di kawasan yang disasarkan MetMalaysia.

“Pesawat TUDM dari Pangkalan Udara Subang bergerak pada 12.30 tengah hari menuju kawasan fokus operasi pembenihan awan.

“Hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak, Seremban, Tampin, Jelebu, Alor Gajah dan Jasin walaupun tidak menyeluruh seperti yang dijangka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, OPA hari ini berdepan sedikit kesukaran untuk mendapatkan kebenaran menggunakan ruang udara ekoran aliran trafik yang sibuk di kawasan fokus.

Katanya, pasukan OPA mendarat semula di Pangkalan Udara Subang 3.05 petang.

OPA dijalankan hari ini bagi mengurangkan kesan jerebu yang berlaku sejak awal minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 6:23 PM
SHAH ALAM 16 SEPTEMBER 2019. Anggota TUDM bertugas ketika operasi pembenihan awan (OPA) di sekitar negeri Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan susulan dengan kesan jerebu yang semakin teruk. NSTP/AZIAH AZMEE
SHAH ALAM 16 SEPTEMBER 2019. Anggota TUDM bertugas ketika operasi pembenihan awan (OPA) di sekitar negeri Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan susulan dengan kesan jerebu yang semakin teruk. NSTP/AZIAH AZMEE