Pengusaha perahu tambang memakai topeng hidung dan mulut ketika beroperasi di Sungai Sarawak, Kuching disebabkan keadaan jerebu di bandar raya itu. Foto L Manimaran
Pengusaha perahu tambang memakai topeng hidung dan mulut ketika beroperasi di Sungai Sarawak, Kuching disebabkan keadaan jerebu di bandar raya itu. Foto L Manimaran
Faliq Lajim


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hanya akan melakukan operasi pembenihan awan (OPA) sekiranya keadaan atmosfera berada dalam keadaan yang sesuai.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon dalam kenyataannya di Kuala Lumpur semalam berkata, pihaknya dalam keadaan bersiap siaga untuk melaksanakan OPA dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau keadaan atmosfera dari semasa ke semasa bagi melaksanakan OPA.

“Kita akan segera melaksanakannya apabila keadaan sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu kepada penduduk di kawasan yang terbabit berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Jailan berkata, peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia antara punca jerebu berlaku di beberapa negeri di pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak.

“Kemungkinan berlaku hujan lebat di Sumatera dan Kalimantan termasuk negara kita adalah rendah dalam tempoh seminggu akan datang.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai penutup muka dalam keadaan cuaca berjerebu ketika ini.

“Mereka juga dinasihatkan minum banyak air selain tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh ini (jerebu),” katanya.

Menurutnya, maklumat dan ramalan cuaca terkini daripada MetMalaysia boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 11:59 PM