PENUNTUT USM memakai topeng hidung dan mulut susulan keadaan jerebu yang serius hari ini. FOTO Danial Saad.
PENUNTUT USM memakai topeng hidung dan mulut susulan keadaan jerebu yang serius hari ini. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) menangguhkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kampusnya berikutan masalah jerebu.

Ia susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Minden yang melepasi paras tidak sihat sejak awal pagi hari ini.

Jurucakap USM berkata, pihak universiti memutuskan semua aktiviti kuliah dan tutorial ditangguhkan berikutan bacaan IPU yang melebihi paras 200.

“Aktiviti luar bangunan tidak dibenarkan, namun operasi harian pejabat pada hari ini kekal seperti biasa” katanya menerusi kenyataan di Georgetown, hari ini.

Sehubungan itu, kakitangan dan penuntut diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Jerebu USM atau boleh merujuk kepada laman web Pusat Sejahtera USM di www.pusatsejahtera.usm.my bagi sebarang maklumat lanjut.

Selain itu, mereka boleh menghubungi talian hotline 04-653 4948 yang kini juga dibuka bagi sebarang pertanyaan berkaitan situasi jerebu di USM.

Sehingga 3 petang hari ini, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan bacaan IPU di Balik Pulau (263) dan Minden (233).

Manakala di Seberang Perai pula menunjukkan bacaan 195 dan Seberang Jaya (189).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:14 PM