PANG (kiri) menunjukkan pelbagai jenis barang kes dadah yang akan dilupuskan. FOTO Adzlan Sidek
PANG (kiri) menunjukkan pelbagai jenis barang kes dadah yang akan dilupuskan. FOTO Adzlan Sidek
Hasbi Sidek


PELBAGAI dadah yang dirampas sejak 2000 hingga 2018 dianggarkan bernilai RM3.6 juta dilupuskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Ketua JSJN Negeri Sembilan Suprintendan Pang Jin Lai berkata, pelupusan barang kes dadah membabitkan 1,284 kes yang sudah selesai dibicarakan dan masih tersimpan di stor barang kes.

“Pelbagai jenis dadah dilupuskan kali ini dengan nilai anggaran rampasan dadah sebanyak RM3.6 juta.

“Ia membabitkan heroin (5,082.35 gram), ganja (2,915.59 gram), syabu (1,542.19 gram), ketamin (222.92 gram), eramin 5 (171.79 gram), nimetizepam (43,478.08 gram), pil yaba (17.94 gram), methadone (0.11 liter), daun ketum (108,475.47 gram), air ketum (419.23 liter) dan lain-lain jenis dadah sebanyak 20 botol,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, semua dadah berkenaan akan dibawa dari Balai Polis Sikamat ke Pusat Kualiti Alam, hari ini, untuk dimusnahkan.

Mengulas lanjut, prestasi JSJN Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan peningkatan secara keseluruhannya berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Tangkapan pelbagai kesalahan dadah berbahaya sebanyak 5,749 kes meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya. Manakala anggaran aset rampasan dadah bernilai RM1.5 juta dan nilai sitaan aset pengedar sebanyak RM3.3 juta.

“JSJN Negeri Sembilan memberi fokus tangkapan terhadap pengedar dadah yang bergiat aktif dengan melumpuhkan ekonomi golongan itu melalui penyitaan aset yang dimiliki.

“Kami menyeru masyarakat supaya terus prihatin dan sentiasa tampil memberi dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu merealisasikan misi dan visi polis dalam memerangi dadah habis-habisan di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 2:21 PM