SITI FAZURINA. FOTO Arkib NSTP
SITI FAZURINA. FOTO Arkib NSTP
Nor Azura Abdul Jalil


PELAKON yang pernah popular menerusi drama bersiri Dunia Anita, Siti Fazurina ingin memberi peluang kepada dirinya dan suami untuk memperbaiki hubungan mereka sebagai suami isteri.

Perkara itu dimaklumkan Siti Fazurina Mohd Famir, 37, selaku plaintif pada prosiding di hadapan Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, ketika disoal Ahmad Muttaqi adakah dia masih ingin meneruskan permohonan perceraiannya, Siti Fazurina berkata, dirinya terdetik untuk beri peluang kedua untuk cuba memperbaiki hubungannya dengan suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 38, selaku defendan.

“Benda ini masih berlarutan tapi saya rasa nak beri peluang pada dia,” katanya sebelum mahkamah memutuskan prosiding kes itu diteruskan di dalam kamar.

Pelakon itu hadir ke mahkamah untuk sebutan kali kedua kes cerai yang difailkan sekitar bulan lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada prosiding itu, mereka tidak diwakili peguam.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Siti Fazurina berkata, susulan dia dan suaminya masih dalam proses perbincangan mengenai hala tuju rumah tangga, mahkamah akan menetapkan satu tarikh baru untuk mengetahui perkembangan kes itu.

“Mungkin jodoh kami masih panjang namun lepas ini saya tidak tahu. Hubungan kami sebagai kawan sangat baik cuma untuk menjadi suami isteri itu biar saya, dia dan Tuhan saja yang tahu.

“Kes cerai difailkan pada Ogos lalu adalah kali ketiga apabila dua permohonan sama sebelum ini ditarik semula,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sama ada masih tinggal bersama suami, pelakon itu menjawab mereka masih sebumbung dengan keluarga.

Pasangan itu sebelum ini menimbulkan kontroversi selepas melangsungkan perkahwinan berwalikan bapa saudaranya tanpa pengetahuan keluarga yang diadakan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012.

Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 63, mendedahkan perkahwinan itu tidak sah berikutan Nina dipercayai memberi maklumat palsu kepada pejabat agama dengan mengatakan bahawa beliau anak tunggal sedangkan masih mempunyai dua adik lelaki kandung.

Nina dan Hykal dinikahkan semula pada 20 Mac 2013 dengan diwalikan adik kandungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 1:56 PM