NINA akui restu ibu bapa main peranan penting sebelum membina mahligai perkahwinan.
NINA akui restu ibu bapa main peranan penting sebelum membina mahligai perkahwinan.
Najiy Jefri

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Dunia Anita, Siti Fazurina Mohd Famir mengakui restu ibu bapa memainkan peranan penting sebelum membina mahligai perkahwinan.

Siti Fazurina yang mesra disapa Nina berkata, pengalaman hidup yang penuh berliku dan cabaran nyata banyak mengajar dirinya untuk mengutamakan keluarga dalam segenap aspek kehidupan.

"Seperti semua sedia maklum, hubungan saya dan keluarga pernah mencetuskan kontroversi tidak lama dulu apabila mereka tidak merestui perkahwinan bersama suami. Bukan sehari dua, tetapi lima tahun juga hidup saya kosong apabila berjauhan daripada mereka.

"Biarpun keluarga mentua baik dan melayan saya seperti anak sendiri, namun kekosongan itu tetap dirasai kerana ibu bapa tidak merestui rumah tangga yang dibina.

"Alhamdulillah, tawaran kerja juga semakin terbuka selepas hubungan dengan ibu bapa pulih seperti sedia kala. Malah, saya dan suami juga ketika ini tinggal bersama keluarga," katanya.

Tambah Nina, hubungan dengan ibu bapanya mula pulih sebaik dia mengambil keputusan untuk merapatkan kembali kasih sayang yang sudah lama didambakan.

"Jujur tanpa kasih sayang ibu bapa saya akui hidup saya tidak lengkap. Saya tetap nak mereka restu perkahwinan saya.

"Jadi beberapa tahun lalu saya ambil keputusan untuk bertemu keluarga seorang diri terlebih dahulu, kemudian ibu saya minta saya bawa suami. Alhamdulillah, kini kami sangat rapat," katanya.

HUBUNGAN Nina bersama ahli keluarga kini pulih.
HUBUNGAN Nina bersama ahli keluarga kini pulih.

Mengulas mengenai soal cahaya mata, Nina dan suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 39, menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki dan tidak mahu meletakkan tekanan pada diri sendiri.

"Soal zuriat saya dan suami sentiasa positif dan tidak terlalu memikirkannya. Saya serahkan sepenuhnya kepada takdir Ilahi.

"Saya sendiri pernah dua kali keguguran sebelum ini, malah doktor juga mengesahkan saya tidak mempunyai masalah kesihatan. Kehidupan saya dan suami kini diserikan dengan kehadiran anak-anak saudara," katanya.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012 berwalikan bapa saudaranya, Mohd Fahmi Freedam Shah tanpa pengetahuan ibu dan ahli keluarganya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:30 AM