IBU bapa berdoa sebelum murid memasuki dewan peperiksaan bagi meredakan tekanan.
IBU bapa berdoa sebelum murid memasuki dewan peperiksaan bagi meredakan tekanan.
Nik Khartina Nik Man

DALAM suasana peperiksaan UPSR yang masih hangat di seluruh negara, pembabitan kumpulan sokongan ibu bapa (KSIB) dalam membantu sekolah menguruskan keperluan calon wajar dicontohi.

Situasi seperti ini turut dilihat di Sekolah Kebangsaan Bukit Kapar (SKBK) di sini, apabila sekumpulan ibu bapa yang dikenali sebagai Support Team (ST) bukan saja meringankan tugas guru, tetapi turut berperanan meredakan tekanan murid menghadapi peperiksaan.

Kumpulan ini secara sukarela menguruskan tempahan makanan dan menghidang sarapan serta bersedia bila-bila masa membantu sekolah menghadapi pelbagai ragam dan masalah murid pada hari itu.

Menurut Ketua Biro KSIB, Ummi Atiyyah Hamsani, 36, kumpulan ST adalah jawatankuasa kecil daripada struktur Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mula bergiat aktif sejak setahun lalu selepas sambutan Hari Guru.

“Sebelum ini, KSIB tidak mendapat perhatian kerana ibu bapa tidak tahu cara memberi sumbangan kepada sekolah.

“Kebanyakan mereka hanya terbabit dalam PIBG sekali saja iaitu pada Mesyuarat Agong Tahunan. Selebihnya hanya AJK dilantik bertungkus-lumus membantu sekolah.

“Bagaimanapun, pada Mesyuarat Agong Tahunan 2018, seorang ahli PIBG mencadangkan sambutan Hari Guru dikelolakan sepenuhnya ibu bapa dan usul itu diterima,” katanya.

Kata Ummi Atiyyah, bermula dari situ satu jawatankuasa kecil yang terdiri dalam kalangan ibu bapa ditubuhkan dan dinamakan ST untuk menjayakan aktiviti sempena Hari Guru sahaja.

“Kami langsung tidak jangka sambutan Hari Guru tahun itu dapat dilaksanakan dengan meriah, malah sejak itu wujud keserasian di antara warga sekolah dan ibu bapa,” katanya.

Selepas itu, kumpulan ST dikekalkan dan pembabitan ibu bapa semakin bertambah daripada 20 mencecah 60 ahli.

“Kumpulan ini digerakkan melalui aplikasi WhatsApp tanpa memerlukan pendaftaran rasmi. Mana-mana ibu bapa yang berminat boleh menyertai kami tanpa dikenakan sebarang syarat,” katanya.

Menurut Ummi Atiyyah, penyertaan tanpa syarat itu ternyata menarik perhatian ramai ibu bapa kerana mereka boleh membantu apabila ada kelapangan tanpa paksaan. Mereka boleh memberi sumbangan sama ada idea, tenaga, wang ringgit ataupun komitmen.

Sehingga hari ini, ST SKBK menjalankan lebih 17 projek. Antaranya, program ziarah kasih bekas guru, majlis persaraan guru besar, sumbangan hari raya murid asnaf, jualan garaj, hari usahawan dan kejohanan sukan sekolah.

Sementara itu, guru SKBK yang juga Bendahari PIBG, Nurhaniza Haron, 38, berkata, pembabitan ibu bapa dalam ST sangat dialu-alukan dan terbukti meringankan bebanan dalam pelbagai aktiviti pelajar serta keperluan sekolah.

PERLAWANAN futsal kain batik di antara ST dan guru SKBK sempena Hari Guru.
PERLAWANAN futsal kain batik di antara ST dan guru SKBK sempena Hari Guru.

“Lebih membanggakan ST SKBK juga dapat menambah dana tabung PIBG melalui pelbagai projek seperti jualan garaj pakaian terpakai di hadapan sekolah, gerai jualan hari sukan dan hari usahawan.

“Hasil aktiviti itu membolehkan pihak sekolah membeli 200 kerusi tambahan untuk dewan dan set jersi pasukan bola jaring,” katanya.

Kata Nurhaniza lagi, ST bukan saja ‘tongkat’ SKBK, malah turut membantu komuniti Kampung Bukit Kapar menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti Program PEKA@FACE LPPKN anjuran Surau Al-Islah.

Komitmen ahli ST SKBK turut menarik perhatian sekolah lain apabila mereka memohon bantuan untuk menjalankan program di sekolah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:20 AM