MAT Deli Alang Ibrahim di rumahnya di Kampung Bukit Sapi. FOTO Rashidi Yusof
MAT Deli Alang Ibrahim di rumahnya di Kampung Bukit Sapi. FOTO Rashidi Yusof
Mohd Rashidi Yusuf


“KAMI cuma ada 10 senapang patah, parang panjang, keris, golok dan mungkin sabit, berbanding anggaran 200 pengganas komunis bersenjata yang serang kampung kami.

“Tapi dengan pertolongan Allah, berkat kami semua bersatu, teguh hati dan tidak menyerah kalah, akhirnya gerombolan musuh berundur,” kata bekas ketua kampung, Mat Deli Alang Ibrahim, 84, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sapi, 12 kilometer dari sini.

Dalam pertempuran kira-kira lima jam antara penduduk Kampung Bukit Sapi dengan pengganas komunis pada 13 Mei 1952 itu, empat anggota pengganas itu maut dan beberapa yang lain cedera manakala dua penduduk kampung terkorban dan dua cedera.

Masih segar dalam ingatan pertempuran yang berlaku 67 tahun lalu, Mat Deli yang berusia 17 tahun ketika itu hanya bertindak sebagai pembawa peluru membantu bapanya, Alang Ibrahim Itam, menahan asakan kumpulan pemberontak negara itu.

Katanya, sehari sebelum itu, penduduk kampung, Ghazali Mat Taha, mengesan kehadiran beberapa anggota pengganas yang lengkap bersenjata di kawasan berhampiran rumahnya, sebelum memaklumkannya kepada penduduk dengan cara bergerak dari rumah ke rumah.

“Ketua kampung ketika itu, Adam Pandak segera merancang sesuatu terutama bersama 10 penduduk yang ada senapang patah termasuk arwah bapa saya.

“Risikan penduduk kemudian mendapati rupa-rupanya mereka sudah menempatkan empat pasukan dengan setiap pasukan terdiri 50 anggota mengepung kampung kami,” katanya.

Berikutan itu, perancangan dibuat supaya semua 10 penduduk yang bersenjata itu bersama pembantu masing-masing berada pada kedudukan strategik di atas beberapa bukit yang mengelilingi kampung itu.

Pada awal pagi 13 Mei itu, empat pengganas bersenjata masuk ke dalam kampung untuk mengadakan rundingan dengan beberapa wakil penduduk meminta dikumpulkan semua penduduk kampung di sekolah.

Mat Deli berkata, permintaan itu bagaimanapun ditolak mengakibatkan anggota komunis tidak berpuas hati dan melepaskan tembakan di udara. Serentak itu segerombolan pengganas masuk untuk menyerang dan merampas barangan penduduk.

Menurutnya, kira-kira jam 8 pagi, bunyi letupan senjata api pertama kedengaran dan disambut tembakan bertalu-talu dari empat penjuru yang dikawal pasukan pengganas itu ke arah Kampung Tengah dalam kawasan Kampung Bukit Sapi.

“Ketika itu, senjata musuh tertumpu ke atas bukit iaitu ke arah 10 penduduk yang bersenjatakan senapang patah yang bertahan di situ.

“Kami dihujani peluru musuh tanpa henti, berbanding 10 penduduk bersenjatakan senapang patah hanya membalas tembakan sesekali ketika benar-benar dapat melihat musuh,” katanya.

Mat Deli berkata, dia dan bapanya tidak terus berkubu di atas bukit sebaliknya berkubu di dalam perigi kering berhampiran kawasan sawah padi.

“Ketika bunyi letupan terus bertali arus, tiba-tiba seorang pengganas berjaya ditembak mati oleh penduduk bernama Nayan Mat Aris yang berlindung di pangkal pokok kelapa, tetapi dia kemudian turut ditembak mati,” katanya.

Menurutnya, ketika itu juga penduduk, Wahab Mahmud mengambil senapang pengganas yang ditembak Nayan, tetapi tidak pandai menggunakannya sebelum ditembak di paha oleh pengganas yang berada di tengah sawah.

“Hingga akhirnya kira-kira jam 12 tengah hari barulah bunyi tembakan mulai reda dan kelihatan gerombolan musuh berundur dan ada pengganas mengusung rakan yang cedera,” katanya.

Mat Deli berkata, apabila musuh berundur sepenuhnya dan tiada lagi kedengaran bunyi tembakan tidak lama kemudian, penduduk pun keluar dari tempat persembunyian dan menemui tubuh penduduk bernama Bujai Ahmad yang turut terkorban.

Menurutnya, pasukan polis tiba di kampung itu kira-kira jam 1 tengah hari dan pada mulanya tidak percaya berlaku pertempuran sengit antara penduduk kampung dengan pengganas komunis, sebelum dua platun tentera Gurkha tiba sejam kemudian untuk menjejaki musuh yang berundur itu.

“Mereka berjaya menemui empat mayat pengganas yang ditinggalkan di dalam ladang getah di bahagian barat daya Kampung Bukit Sapi, sebelum semua mayat itu diambil pihak polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:30 AM