Hairulazim Mahmud


GEJALA dadah di Malaysia boleh mencapai tahap seperti di Colombia jika tiada langkah drastik diambil untuk mengatasinya, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau menegaskan, keadaan menjadi lebih buruk apabila masalah dadah turut membabitkan anggota polis dengan statistik kira-kira 103 anggota dan pegawai dikesan positif bahan terlarang itu dalam Op Blue Devil sejak 13 Ogos lalu hingga hari ini.

“Pendedahan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador baru-baru ini bahawa penggunaan dadah di negara ini kini pada tahap kritikal menunjukkan betapa seriusnya masalah itu selain membuktikan kegagalan kita menanganinya.

“Tiba masanya kerajaan melakukan penilaian semula secara menyeluruh semua polisi, pendekatan, operasi dan juga penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Abdul Hamid terkejut apabila lebih 100 anggota dan pegawai positif dadah menerusi Op Blue Devil yang dijalankan di setiap kontinjen beberapa minggu lalu.

Katanya, angka berkenaan yang amat membimbangkan menunjukkan bahawa tahap penyalahgunaan dadah di negara ini sudah berada pada tahap kritikal.

Lee mencadangkan penubuhan suruhanjaya untuk membantu mengkaji semula dasar berkaitan dadah sedia ada dan membawa pembaharuan serta perubahan yang perlu untuk menjadikannya lebih relevan.

“Ia dianggotai pemimpin tertinggi agensi kerajaan berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan dan pakar.

“Suruhanjaya itu perlu mengkaji pendekatan yang ada dan memperkenalkan polisi baru dadah yang rasional serta mampu menangani masalah itu secara efektif selain komprehensif,” katanya.

Katanya, suruhanjaya itu juga harus menganalisa secara menyeluruh kegagalan pelbagai program dan inisiatif untuk menangani isu bahan itu yang selama ini hanya memberi tumpuan kepada penangkapan dan menghukum penagih dadah.

“Ia juga perlu mengambil kira cadangan untuk mendekriminalisasi penagih dadah kerana mereka tidak seharusnya dilihat sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan,” katanya

Bagaimanapun katanya, langkah itu bukan bermakna kerajaan ingin menggalakkan penyalahgunaan dadah kerana pengedarannya kekal sebagai jenayah.

Lee berkata, suruhanjaya itu juga perlu mengkaji isu terkini termasuk kemasukan dadah sintetik baru dan mencari jalan untuk menanganinya kerana sindiket serta pengedar dadah kini mensasarkan generasi muda termasuk pelajar.

“Semua pihak berkepentingan juga perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan terutamanya ahli keluarga dan komuniti kerana pelbagai jenis dadah sudah dan bakal dibawa ke dalam negara termasuk jenis yang sukar dikesan melalui ujian air kencing.

“Kita perlu ingat kerajaan membelanjakan lebih daripada setengah bilion ringgit untuk memenjara penagih dadah yang terbabit dengan jenayah ringan pada 2017 dan lebih RM200 juta lagi untuk menangkap dan menanggung penagih dadah di pusat pemulihan pada tahun sama.

“Kos dan jumlah penagih dadah yang tinggi ini menunjukkan bahawa kita gagal dalam usaha memerangi dadah selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:04 PM