LAPORAN portal Harian Metro.
LAPORAN portal Harian Metro.
Mohd Rizal Abdullah


“SETAKAT ini, saya masih belum mengetahui keadaan mereka, dan kali terakhir saya dihubungi pada pagi tadi oleh kenalan anak,” kata Nik Rosnani Nik Li, 50.

Nik Rosnani adalah ibu kepada Melinda Susilanini Mohd Azalan, 31, dan Akma Mohd Azalan, 23, yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan lima kematian di Lebuhraya Asia di Khuhatai, Rattaphum dekat Songkhla, petang semalam.

Seorang lagi wanita yang terbabit adalah kenalan anaknya, namun begitu, identitinya masih belum diperoleh.

Nik Rosnani berkata, dia hanya dihubungi oleh rakan kepada anaknya itu pada 11 pagi memberitahu mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM70,000 bagi kos pengebumian mangsa yang terbabit.

“Saya diberitahu wang berkenaan adalah bagi membantu keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Ia merangkumi kos pengebumian mereka, itu yang saya diberitahu setakat ini, manakala maklumat lanjut berkaitan keadaan anak masih belum diperoleh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Alor Setar, hari ini.

Ditanya mengenai proses perundangan yang dihadapi anaknya, Nik Rosnani berkata, dia masih belum menerima maklumat lengkap berhubung perkara itu.

“Namun, ia kemungkinan membabitkan lantikan peguam di sana bagi pengurusan kes,” katanya yang bercadang ke Songkhla dalam tempoh terdekat.

Semalam, lima pemotong rumput maut manakala seorang lagi parah apabila dirempuh sebuah kereta dipandu rakyat Malaysia dalam kejadian 3 petang.

Siasatan mendapati pemandu terbabit terlanggar sesuatu sebelum hilang kawalan lalu merempuh semua mangsa.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hat Yai menaiki Perodua Myvi.

Empat mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Rattaphum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:58 PM