PESERTA memulakan larian sempena TNB Energy Night Run di Stadium Universiti Malaya (UM).
PESERTA memulakan larian sempena TNB Energy Night Run di Stadium Universiti Malaya (UM).
Suliati Asri


KUALA LUMPUR: Suasana malam yang kelam di jalan-jalan utama sekitar kawasan kampus Universiti Malaya bagai diterangi pantulan cahaya hijau dan kuning yang dipakai pelari TNB Energy Night Run 2019.

Gelagat pelari sama ada berlari sendirian, bersama rakan atau keluarga, bagai memecah keheningan malam dengan cara tersendiri sebagai tanda sokongan terhadap larian yang julung kali diadakan.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie berkata, jumlah penyertaan yang menggalakkan daripada kakitangan TNB dan juga masyarakat luar memberi makna yang besar buat TNB sebagai organisasi utiliti utama negara.

Katanya, larian itu adalah usaha TNB ke arah penjimatan tenaga dan pemeliharaan alam semula jadi.

“Saya yakin, percikan tenaga semua yang menyertai larian ini boleh membuat perubahan positif sama ada berlari bersendirian, bersama rakan atau keluarga, berlari untuk menang atau sekadar beriadah,” katanya yang turut mengikuti larian 5KM.

Acara pelepasan peserta dilakukan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraisaah Munirah Majilis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan dan barisan pengurusan tertinggi TNB.

Chong Kar Hian, 39, berkata, larian ini sangat bagus kerana satu keluarga boleh merasai keseronokan larian santai di waktu malam selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Anak-anak bukan saja sangat gembira tetapi mereka terutama anak sulung yang kali pertama menyertai larian seumpama ini dapat menghabiskan larian.

“Sepanjang larian sejauh 5KM saya turut memberi- tahu anak-anak tujuan sebenar larian itu diadakan dan memberi maklumat mengenai penjimatan elektrik serta bagaimana untuk menjimatkan tenaga demi masa depan mereka kelak,” katanya.

Pengurus Pembilan TNB Kuala Lumpur, Ir Syazreey Izuansyah Zakaria, 37, berkata larian TNB Energy Night Run 2019 sedikit sebanyak memberikan kesedaran bukan saja kepada dirinya tetapi juga peserta lain di samping menggalakkan peserta untuk menjaga kesihatan dengan berlari sejauh 5KM dan 10KM.

Katanya, dia sendiri mengamalkan penggunaan elektrik dengan berhemat di rumah bagi menyokong usaha penjimatan tenaga dan pemeliharaan alam semula jadi.

“Saya menggunakan peralatan yang diluluskan oleh Sirim dan barangan yang mempunyai label taraf 5 bintang yang mana menjimatkan tenaga dan dalam masa yang sama membantu menjaga alam sekitar serta mengurangkan bil elektrik,” katanya yang menyertai kategori 10KM.

Pasangan suami isteri, Mohamad Khairuddin Abdul Khalim, 37, dan Robiah Ghazali, 34, yang berlari bersama empat anak berkata, selain menyihatkan, larian ini dapat mengisi masa lapang dan menyatukan keluarga di hujung minggu.

“Dengan jadual kerja yang padat dan kami sering bekerja di lapangan, acara ini secara tidak langsung memberi peluang untuk kami meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak.

“Objektif acara ini juga nampaknya tercapai dengan pembabitan peserta yang berbilang kaum serta kakitangan TNB dan keluarga,” katanya.

Untuk kategori 10 KM (Lelaki) dimenangi Wai Ching Soh, diikuti Zafran Zakaria dan Azri Rosli manakala wanita pula dimenangi Siti Farah Eliza Zainuddin diikuti Darlene Tangaraja dan Che Ku Bahirah Che Ku Mat.

Pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300 (pertama), RM200 (kedua) dan RM100 (ketiga).

Menambahkan lagi kemeriahan larian santai TNB Energy Night Run 2019 ialah cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:40 AM