POLIS merampas  231 kotak yang mengandungi rokok seludup di sebuah rumah semalam. FOTO Ihsan PDRM.
POLIS merampas 231 kotak yang mengandungi rokok seludup di sebuah rumah semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Muhamad Lokman Khairi


Seri Iskandar: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 11,550 karton pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai kastam dianggarkan bernilai RM184,000 di sebuah rumah di Bandar Universiti, dekat sini, semalam.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditangkap sepasukan pegawai polis dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dalam Op Kontraban di Jalan Ipoh-Lumut, di sini, atas maklumat awam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, terdahulu, polis mengekori sebuah Proton Exora berwarna kelabu yang mencurigakan sebelum ia berhenti di sebuah rumah di Bandar Universiti, di sini, dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

"Suspek dilihat masuk ke dalam rumah dan membawa keluar beberapa kotak besar lalu dimasukkan ke dalam kereta.

"Pihak polis kemudian menyerbu suspek dan membuat pemeriksaan di dalam kereta serta rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihaknya menemui 231 kotak besar mengandungi rokok seludup dengan nilai cukai kastam dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

"Turut dirampas Proton Exora dan dua telefon bimbit serta barang lain berkaitan.

"Suspek ditahan reman mulai hari ini sehingga 17 Februari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya sambil menambah siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket penyeludupan rokok berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 9:13 PM