Ahmad Rabiul Zulkifli


LELAKI berdepan detik cemas apabila lori muatan biji besi yang dipandunya merempuh gajah di Kilometer (KM) 44 Jalan Kuala Berang ke Aring, Hulu Terengganu, malam tadi.

Dalam kejadian 10.23 malam itu, kenderaan berat yang dipandu oleh Emyhaizi Ahmad, 32, melanggar gajah bersaiz sederhana sehingga menyebabkan haiwan terbabit mati akibat tersepit pada bahagian bawah kepala lori berkenaan.

Lelaki terbabit yang berasal dari Kampung Langkap, Setiu ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia tergamam apabila terdapat sekumpulan gajah melintas jalan secara mendadak sewaktu melalui lokasi terbabit.

“Saya masih terkejut dengan kejadian itu kerana haiwan yang dilanggar itu bukan haiwan ternakan biasa seperti lembu atau kambing tetapi seekor gajah liar.

“Proses untuk membawanya keluar daripada tersepit juga mengalami kesulitan dan mengambil masa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori itu dari arah Gua Musang menghala ke Pelabuhan Kemaman.

GAJAH berkenaan. FOTO Ihsan Polis
GAJAH berkenaan. FOTO Ihsan Polis

“Sebaik tiba di lokasi, sekumpulan gajah liar melintas dari bahu jalan sebelah kiri dari arah Gua Musang untuk ke kanan jalan arah ke Pelabuhan Kemaman.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu terbabit tidak sempat mengelak kenderaannya daripada kumpulan haiwan liar itu sekali gus terlanggar seekor gajah.

“Kejadian menyebabkan gajah terbabit terperosok pada bahagian tayar belakang bawah kepala lori itu dan mati,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu hadir di lokasi kejadian untuk memberi bantuan.

“Kerja mengalih bangkai gajah itu dijalankan pihak PERHILITAN Terengganu dengan bantuan sebuah lori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 8:08 AM