GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


SEBUAH madrasah tahfiz perempuan dimasuki tiga perompak disyaki Geng Rantau berhampiran Taman Desa Vista, Sepang Khamis lalu.

Sumber berkata, kejadian berlaku 3 pagi ketika penghuni yang juga pelajar perempuan berusia 12 hingga 17 tahun tidur.

Difahamkan pemilik premis yang juga ustazah berusia 40-an juga sedang tidur.

Pada masa sama, penjenayah dipercayai bersenjatakan parang memecah masuk dengan mengumpil pintu pagar belakang rumah itu.

“Dua pengawal keselamatan juga dipercayai tertidur ketika kejadian berlaku dan tidak menyedari rumah itu dimasuki perompak.

“Suspek melarikan wang tunai dianggarkan RM2,000 serta beberapa unit telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, difahamkan ketiga-tiga suspek adalah warga Indonesia dan dipercayai ahli Geng Rantau.

“Semua mangsa tidak mengalami kecederaan. Setakat ini tiada tangkapan dan usaha memburu suspek giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 8:05 PM