Lima suspek termasuk dua wanita yang berada dalam kereta Toyota Vios milik seorang guru yang dilarikan dari Kampung Air Dingin, Tumpat berjaya ditangkap pihak berkuasa di Jalan Mahmood, Kota Bharu. Foto Ihsan pembaca.
Lima suspek termasuk dua wanita yang berada dalam kereta Toyota Vios milik seorang guru yang dilarikan dari Kampung Air Dingin, Tumpat berjaya ditangkap pihak berkuasa di Jalan Mahmood, Kota Bharu. Foto Ihsan pembaca.
Siti Rohana Idris


Tindakan sekumpulan penjenayah mencuri dan melarikan kereta Toyota Vios milik seorang guru di Kampung Air Dingin, Tumpat, hanya bertahan empat jam apabila mereka berjaya ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi tadi, lima individu berusia antara 19 hingga 22 tahun termasuk dua wanita ditahan anggota polis trafik di bandar Kota Bharu, Kelantan.

Pemilik kereta, Mohamad Zawawi Che Yusoff, 56, berkata rumahnya dimasuki perompak kira-kira jam 3 pagi tadi ketika dia sedang tidur.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu sebaik terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan di luar rumah.

“Sebaik keluar untuk melihat, penjenayah didapati mengundurkan kereta saya sebelum memecut laju melarikan diri.

“Mereka memecah masuk rumah dengan cara mencungkil tingkap sebelum memasukkan tangan untuk membuka selak pintu utama.

“Selain melarikan kereta, perompak berjaya mengambil komputer riba, telefon pintar milik anak dan dompet berisi wang tunai RM200 serta beberapa kad bank,” katanya.

Menurutnya, pada pagi ini, anaknya dihubungi seorang rakan memaklumkan ternampak keretanya di Jalan Hamzah, Kota Bharu.

“Anak memberitahu bahawa kenderaan itu dilarikan perompak dan rakan anak segera memaklumkan seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas di lampu isyarat berhampiran.

“Anggota polis kemudian mengejar kereta saya itu sebelum berjaya memberkas semua suspek.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu mengalami sedikit kerosakan iaitu retak cermin hadapan serta tercabut ‘bumper’ belakang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata semua suspek ditahan di Jalan Mahmood oleh anggota trafik Kota Bharu dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Tiga daripada lima individu yang ditangkap mempunyai rekod lampau berhubung dadah dan jenayah. Hasil ujian saringan mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis Benzodiazepine.

“Semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 3:56 PM