Mohd Roji Kawi


SEEKOR anjing yang ditangkap di Taman Budaya, Kuching baru-baru ini, disahkan positif virus rabies atau penyakit anjing gila.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lebih membimbangkan apabila tujuh pengunjung taman rekreasi itu digigit anjing liar di kawasan berkenaan, minggu ini.

Katanya, serangan anjing di situ adalah di luar jangkaan kerana operasi antirabies yang dilancarkan sebelum ini turut membabitkan kawasan itu.

“Saya sudah meminta pihak berkuasa termasuk polis supaya mengenal pasti tempat tumpuan orang ramai bukan sahaja di Kuching, tetapi bandar lain yang banyak anjing liar berkeliaran bagi membolehkan kita mengambil tindakan sewajarnya.

“Anjing liar kini menjadi ancaman serius. Untuk makluman, kira-kira 300 gigitan anjing direkodkan di seluruh negeri setiap minggu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, petang semalam.

Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Dr Adrian Susin dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung.

Douglas Uggah berkata, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil beberapa pendekatan untuk membasmi anjing liar di Taman Budaya, termasuk memasang perangkap.

“Bagaimanapun ada individu tidak bertanggungjawab melepaskan seekor anjing yang sudah memasuki perangkap, baru-baru ini.

“Perbuatan itu amat menyedihkan kerana kita berusaha membendung penularan wabak rabies tetapi ada juga yang melakukan sesuatu yang boleh merencatkan usaha itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:21 AM