MICHAEL Manyin Jawong ketika ditemui media,  hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
MICHAEL Manyin Jawong ketika ditemui media, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
Muhd Amirul Faiz Ahmad


KERAJAAN Sarawak pada bila-bila masa sedia menjelaskan RM350 juta daripada RM1 bilion hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan, untuk digunakan semula bagi membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi Penyelidikannya, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, tiada masalah untuk pembayaran berkenaan kerana ia sudah dipersetujui Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dalam satu pertemuan, minggu lalu.

“Mereka yang membuat bising berkenaan hal pembayaran itu sebenarnya tidak tahu perkara sebenar. Sebab itu, saya tidak mahu bercakap di surat khabar kerana saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk berunding secara terus dengan dua kementerian itu.

“Tahun ini, kerajaan negeri akan membayar RM350 juta bagi tujuan baik pulih sekolah daif dan bakinya akan dilunaskan pada tahun depan secara berperingkat,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan Pertandingan Kemahiran KV Skill dan Inovasi Pelajar Sarawak di Kolej Vokasional, Jalan Batu Lintang, Kuching hari ini.

Manyin berkata, kerajaan negeri tidak pernah menyalahkan Kerajaan Persekutuan dalam isu sekolah daif, sebaliknya meletakkan kepercayaan penuh kerana kuasa pendidikan di bawah Persekutuan.

“Baik Kerajaan Persekutuan dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri sentiasa percaya kepada Persekutuan, terutama bagi menjaga soal pendidikan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan BN dulu menjanjikan RM1 bilion bagi tujuan baik pulih sekolah daif di Sarawak, bagaimanapun janji berkenaan tidak mengikut PH.

“Daripada terus bertelagah di surat khabar, adalah lebih baik bersemuka. Lagipun tiada masalah kerana pihak kementerian saya mewakili kerajaan negeri secara dasarnya sudah sebulat suara bersetuju dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dalam banyak hal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 1:36 PM