FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak 433 daripada 1,020 sekolah daif di Sarawak sudah dibaik pulih dengan pembiayaan bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee berkata, 587 lagi sekolah daif akan dibaiki dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, ketika masalah itu mula dibangkitkan pada 2017, sebanyak 1,020 sekolah daif di Sarawak dikenal pasti dengan sebahagian besarnya di kawasan luar bandar.

"Kerja membaiki sekolah daif itu dilaksanakan menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM517 juta.

"Walaupun tanggungjawab terhadap pendidikan adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut membantu menyalurkan peruntukan sebanyak RM338 juta bagi tujuan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shafiee Ahmad (GPS - Daro) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dr Annuar berkata, kerajaan negeri turut memberi pinjaman pendahuluan sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek menaik taraf sekolah daif itu.

"Justeru, secara keseluruhan, jumlah peruntukan untuk menaik taraf sekolah daif di Sarawak adalah sebanyak adalah RM1.855 bilion," katanya.

Dr Annuar berkata, beliau percaya dengan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, masalah sekolah daif akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 2:31 PM