PENGARAH Kanan Pasaran Antarabangsa FAMA, Rosilawati Abu Hassan menunjukkan durian 'Musang King' ketika melawat kilang pemprosesan durian sejuk beku. FOTO Mohd Rafi Mamat
PENGARAH Kanan Pasaran Antarabangsa FAMA, Rosilawati Abu Hassan menunjukkan durian 'Musang King' ketika melawat kilang pemprosesan durian sejuk beku. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan tiga promosi makan durian Musang King melalui Festival Malaysia di peringkat antarabangsa sepanjang tahun ini.

Program pertama yang bermula esok di Singapura berlangsung selama empat hari, diikuti Austalia pada September dan Jepun, November ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, selepas kejayaan mengeksport Musang King ke China, kini tiba masanya ia diperluaskan negara lain.

Katanya, tidak mustahil durian keluaran negara ini dapat menembusi pasaran antarabangsa jika usaha mempromosikan Raja Buaj itu dilakukan secara berterusan.

“Saya percaya durian Musang King dan beberapa jenis lain seperti D24, IOI, Udang Merah dan Traka dapat dipasarkan secara lebih komersial di Singapura, Austalia dan Jepun tidak lama lagi.

“Setakat ini, kita berjaya memastikan proses penghantaran durian Musang King ke China berjalan lancar dan ini akan menjadi penanda aras sebelum negara seperti Jepun atau Singapura mempertimbangkan serta membuat keputusan untuk membeli durian dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kilang memproses durian sejuk beku PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah FAMA Pahang, Rosli Aw Da.

Kilang itu adalah antara lima syarikat tempatan yang mendapat kebenaran mengekspot durian Musang King ke China.

Sementara itu, Ishak berkata, pihaknya akan meletakan daerah ini dalam peta negara sebagai pengeluar utama durian Musang King berkualiti tinggi dan mempunyai rasa istimewa.

Katanya, FAMA akan bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia untuk membawa pelancong asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus ke daerah ini untuk mereka menikmati durian Musang King dan pelbagai jenis durian lain, termasuk produk berasaskan durian.

“Kini saingan pasaran durian Musang King ke China datang dari Thailand namun buah keluaran negara jiran itu tidak sama rasanya dengan raja buah Malaysia itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:57 AM