Lima pekerja kilang yang ditahan selepas dipercayai menghisap syabu diselangi air ketum. FOTO Ihsan AADK
Lima pekerja kilang yang ditahan selepas dipercayai menghisap syabu diselangi air ketum. FOTO Ihsan AADK
Hasbi Sidek


HISAP syabu diselangi air ketum. Itu yang dilakukan lima pekerja kilang selepas mereka ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Rembau dalam operasi Khamis lalu.

Lima lelaki berusia dari 21 hingga 23 tahun itu ditahan di dua rumah sewa berbeza di kawasan Pedas, Rembau dalam Ops Cegah AADK.

Ketua Pegawai AADK Daerah Rembau, Nur Athirah Hanis Baharudin berkata, hasil maklumat pihaknya, sepasukan anggota ke dua rumah itu sebelum melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan kami menahan lima lelaki berusia 21 hingga 23 tahun yang bekerja di sektor perkilangan di Chembong, dekat sini.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, soal siasat juga mengejutkan apabila suspek mengaku turut mengambil syabu bersama air ketum bagi menambah kepuasan.

“Mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Rembau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 1:56 PM