PERHILITAN Johor merampas seekor anak babi hutan yang dibela oleh seorang lelaki tempatan di sebuah kediaman di Taman Nusantara Gelang Patah, Johor Bahru. FOTO Ihsan PERHILITAN Johor
PERHILITAN Johor merampas seekor anak babi hutan yang dibela oleh seorang lelaki tempatan di sebuah kediaman di Taman Nusantara Gelang Patah, Johor Bahru. FOTO Ihsan PERHILITAN Johor
Nurul Amanina Suhaini


LELAKI tempatan berusia 58 tahun dipanggil bagi membantu siasatan selepas dipercayai memelihara seekor anak babi hutan di rumahnya di Taman Nusantara, Gelang Patah.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor, Salman Saaban ketika dihubungi berkata, bertindak atas aduan orang ramai, pihaknya menyiasat dakwaan berhubung insiden berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dakwaan itu benar yang mana seorang lelaki dipercayai pemilik rumah membela haiwan berkenaan dan kini disoal siasat, manakala seekor anak babi hutan dirampas.

“Siasatan awal mendapati anak babi hutan itu dipelihara sejak lapan bulan lalu sebagai haiwan peliharaan,” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

Salman berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana kesalahan menyimpan spesies hidupan liar tanpa lesen sah daripada Jabatan PERHILITAN.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 60 iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“PERHILITAN Johor menasihatkan orang ramai yang berminat menyimpan hidupan liar sebagai haiwan peliharaan supaya memohon lesen dan menyimpan spesies sesuai.

“Memelihara babi hutan sebagai haiwan kesayangan adalah tidak sesuai kerana boleh mengancam keselamatan pemilik serta orang ramai jika ia terlepas serta boleh mengganggu keselesaan jiran-jiran berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 4:03 PM