GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Ibrahim Isa


PADAH menjadikan anak beruang matahari sebagai haiwan peliharaan, seorang peniaga berdepan hukuman denda RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun sekiranya didapati bersalah.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima maklumat awam dan melakukan intipan sebelum menahan seorang lelaki di sebuah premis di Jalan Padi Makmur, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, 4.30 petang semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai bertugas mendapati lelaki yang disyaki pemilik premis berkenaan memelihara anak beruang matahari dan beberapa spesis burung yang dilindungi tanpa permit.

Katanya, empat pegawai PERHILITAN menyerbu premis dipercayai milik suspek di Jalan Padi Makmur, Bandar Baru Uda dan menemui anak beruang matahari atau beruang madu.

“Hasil pemeriksaan, lelaki tempatan berusia 52 tahun didapati memelihara haiwan yang dilindungi tanpa dokumen sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Lelaki itu ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Salman berkata, selain anak beruang betina itu, pihaknya menemui sembilan burung spesis Rose Ring Paraket, seekor Sulfur Creasted Culcatoo (Cacature galerita) dan seekor Blue and Gold Macau (Ara ararauna).

Katanya, kesemua haiwan yang dianggarkan bernilai RM37,000 itu dipercayai sudah dipelihara dalam tempoh setahun sebagai hobi lelaki berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 7:34 PM