FOTO hiasan
FOTO hiasan
Erika George


IBU terkejut apabila mendapati anak lelakinya berusia 14 tahun sudah meninggal dunia di rumah mereka di Bakam, Miri semalam.

Kejadian berlaku 6.30 pagi apabila ibu remaja itu ke bilik tidur anaknya di tingkat atas rumah bagi mengejutkan anaknya supaya bersiap ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, ibu mangsa menemui mayat anaknya dalam keadaan kepalanya ditutup menggunakan beg plastik yang diikat dengan tali nilon.

“Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui nota ditinggalkan remaja itu yang meminta seutas jam diberikan kepada rakan perempuan sekelas sebagai hadiah.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 4:48 PM